LAMAN WEB RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN ORAN

"KEKALAHAN BUKAN TRADISI, KEJAYAAN BUKAN DIWARISI"

Navi bar

SEJARAH SEKOLAH

SEKOLAH Kebangsaan Oran, Mata Ayer, Perlis, dulunya hanyalah sebuah 'bangsal' berbentuk segi empat, beratap rumbia, tanpa dinding dan berlantai tanah. Dibangunkan di atas tanah yang diwakafkan oleh Penghulu Datuk Habib atau nama sebenarnya Syed Abdul Rahman Syed Ibrahim pada 1918, kini sekolah itu berkembang pesat dengan pelbagai penambahan kemudahan bagi memenuhi permintaan anak-anak penduduk setempat untuk mendapatkan pendidikan.
Menurut Guru Besar sekolah ini, Abdul Rahman Zakaria, penyertaan sekolah ini ke peringkat akhir dalam program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K), meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk menjadikan sekolah ini terbaik dalam segala aspek.
''Walaupun sekolah ini adalah sekolah kategori luar bandar dengan lebih 80 peratus daripada muridnya daripada golongan berpendapatan rendah, kerjasama ibu bapa dalam mengindahkan kawasan sekolah harus dipuji.
''Buktinya, walaupun berpendapatan rendah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak keberatan untuk memberikan sumbangan kewangan demi pembangunan sekolah,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Malah hasil tabung PIBG, pihak sekolah berjaya membangunkan menara jam dan juga mengindahkan dinding-dinding dengan lukisan mural yang indah dan ceria, tambahnya.
PIBG sekolah itu juga kata Abdul Rahman, tidak keberatan untuk menyumbangkan tenaga bagi setiap projek gotong-royong membersihkan kawasan sekolah.
Sesuai dengan pemilihan sekolah ini untuk menyertai pertandingan 3K, persekitaran sekolah dijaga rapi dengan memberi keutamaan kepada keceriaan dan keselamatan sekolah.
Tinjauan Utusan di sekitar kawasan sekolah mendapati, setiap sudut dimanfaatkan sepenuhnya dengan susun atur landskap yang menarik dengan projek-projek khas taman ilmu yang boleh membantu proses pembelajaran murid.
Antara projek khas yang dijalankan di sekolah ini bagi mewujudkan suasana pembelajaran di luar kelas yang ceria ialah Laluan Matematik.
Laluan Matematik ini memperlihatkan kreativiti pihak sekolah menterjemahkan idea pembelajaran mata pelajaran tersebut ke atas dinding-dinding sekolah sepanjang laluan pejalan kaki.
Mengambil pengalaman-pengalaman sekolah yang lalu yang tidak pernah mempunyai murid-murid yang bermasalah, sekolah ini tidak mempunyai kawalan keselamatan.
Bagaimanapun, menurut Abdul Rahman bagi memastikan keselamatan terus terjamin, sekolah ini turut menyertai program sekolah angkat bersama polis.
Ceramah-ceramah keselamatan sering diberikan kepada warga sekolah. Sekolah ini juga menurutnya mendapat sokongan daripada pihak pengusaha kantin sekolah yang sering menyumbang kepada usaha-usaha mengindahkan sekolah.
Satu fakta menarik mengenai sekolah ini yang asalnya dikenali Sekolah Melayu Oran ialah kejayaan yang pernah dicatatkan oleh muridnya pada 1948.

Pada tahun tersebut, dua murid lelakinya telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) - satu-satunya sekolah berprestij di negara ini ketika itu.